Assalamualaikum, sekarang CT nak share 1 dari karya yang CT karang sempena Haluan Youngstar Annual Gathering. CT harap karya ini bermanfaat kepada semua . InsyaAllah !
FAKTOR-FAKTOR
KERUNTUHAN AKHLAK REMAJA SEKARANG
Dewasa ini, kita sering mendengar berita yang kurang enak
untuk menjadi halwa telinga. Setiap hari, ada sahaja berita yang disiarkan di
akhbar mahupun di media massa. Ke manakah hala tuju remaja kita? Remaja merupakan permata
berharga buat sesebuah negara. Masa
depan sesebuah negara itu berada di tangan mereka. Merekalah yang akan
menggantikan generasi terdahulu untuk menerajui dan membangunkan negara. Bak
kata pepatah, “di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Jika elok remaja,
maka eloklah masa depan sesebuah negara itu, tetapi jika rosak remaja, maka
rosaklah masa depan sesebuah negara itu. Oleh itu, golongan remaja yang
cemerlang sangat diperlukan untuk membentuk sesebuah ummah yang berjaya. Malangnya,
keruntuhan akhlak dan moral remaja semakin menjadi-jadi marcapada ini. Saban
hari , “Tend-trend” kuning yang tumbuh “seperti cendawan selepas hujan”
menandakan keruntuhan akhlak permata Negara.
Faktor
terbesar yang telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak para remaja ialah
pengaruh daripada rakan sebaya. Mengikut statistik,para remaja lebih rapat
dengan kawan berbanding dengan keluarga sendiri. Para remaja kebanyakannya
tidak tahan dengan ayat “Kau ni anak mak la. Hisap rokok pun takut” , “Hisap
rokok lar brother,baru matured!”,”Kau ni out-of date lah. Aku
tengok kau dah macam ninja dah. Semua benda nak tutup!”. Sikap saling mencabar
antara satu sama lain membuatkan para remaja berasa tercabar akan cabaran
kawan-kawan mereka. “Darah muda” mereka mendorong mereka untuk mencuba sesuatu
meskipun mereka tahu perkara tersebut boleh memudaratkan diri mereka. Bak kata
pepatah melayu, “menang jadi arang,kalah jadi abu”. Mereka terutamanya yang
bergelar umat Islam seolah-olah alpa bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda
bahawa “sebahagian daripada kebaikan orang mukmin ialah mereka yang
meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya”.
Seterusnya,kekurangan
kasih sayang daripada orang tua juga merupakan faktor terbesar yang mendorong
kepada masalah gejala sosial dalam kalangan remaja. Pada masa ini, para ibu
bapa terlalu sibuk mengejar harta dunia dan semakin lupa akan lumrah mereka
iaitu mendidik dan mengasuh anak-anak yang
diamanahkan Allah supaya menjadi orang yang berguna kepada agama dan bangsa.
Ya! Saya faham bahawa mereka bekerja ntuk memberi kesenangan kepada
anak-anak,tetapi kesibukan mereka juga menghalang mereka untuk mengambil tahu
aktiviti anak-anak dan seterusnya membiarkan anak-anak terumbang-ambing dalam
kehidupan mereka. Ibu bapa ini hanya akan tersedar ketika anak mereka sudah
teruk. Bak kata pepatah, “sudah terhantuk, baru tergadah”.
Di
samping itu,punca lain yang mempengaruhi fikiran remaja untuk terlibat dalam
aktiviti songsang ialah pengaruh media massa. Tidak boleh dinafikan,media massa
ini banyak memberikan kebaikan, tetapi juga boleh mempengaruhi seseorang
terutamanya golongan remaja ke arah negatif secara diam. Lihat saja,saban hari
kita lebih banyak dipertontonkan dengan filem ganas,filem yang berunsurkan seks
dan sebagainya. Malahan, ada juga filem yang secara diam menyebarkan agama
sesat kepada penonton terutamanya penonton muslim. Filem-filem sebegini boleh
diibaratkan seperti “api dalam sekam”. Cerita-cerita sebegini dapat
mempengaruhi dan merangsang remaja untuk meniru aksi-aksi negatif itu, dan
hasilnya, keruntuhan akhlak remaja semakin menjadi-jadi.
Dalam
pada itu,para remaja tidak diterapkan aspek nilai-nilai murni dan didikan agama
dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana,sikap tidak endah ibu bapa akan
hal-hal seperti ini. Perkara ini lazimnya berlaku dalam keluarga terlalu taksub
mengejar duniawi dan terjebak dalam kejahilan.
Kejahilan yang saya maksudkan di
sini bukanlah kejahilan mereka dalam bidang keilmuan, namun kejahilan yang saya
maksudkan di sini adalah kejahilan mereka dalam menanggapi kehidupan yang
berlandaskan fitrah yang sebenar, kejahilan dalam memisahkan ruang kebenaran
dan kebatilan dan kejahilan para ibu bapa dalam menerapkan nilai adab dalam
kehidupan dalam institusi keluarga. Oleh itu, anak-anak menjadi tidak tahu
membezakan yang mana satu intan,yang mana satu permata dalam hidup mereka
seterusnya berasa seakan tidak ada sesuatu yang dapat menghalang mereka untuk
menunaikan kemahuan mereka. Oleh sebab itulah mereka melakukan sesuatu perkara
negatif tanpa berfikir panjang.
Intihannya,keruntuhan
akhlak bukanlah sekadar berfaktor daripada keadaan sekeliling, tetapi datang
dari dalam diri remaja itu sendiri. Masalah ini telah menjadi satu masalah
kompleks yang melibatkan elemen individu, keluarga, masyarakat dan Negara. Oleh
yang demikian,para ibu bapa dan orang sekeliling memainkan peranan yang sangat
besar dalam usaha menerapkan keimanan yang teguh dalam diri remaja sebagai
benteng pertahanan mereka. Masyarakat juga harus saling menguatkan antara satu
sama lain dengan amar makruf nahi mungkar. Seterusnya adalah negara
sebagai institusi pertahanan umat Islam dalam bersemuka dengan virus-virus luar
yang semakin mencabar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan