Isnin, 9 Disember 2013

Remaja Berwawasan



Assalamualaikum. .

InsyaAllah sekarang CT akan kongsi karya kedua CT pulak . Harap bermanfaat kepada pelawat semua . .




CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN PEWARIS UMMAH

         Remaja merupakan pewaris tampuk kepimpinan negara dan agama. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Namun,dalam menempuh dunia milennium yang sarat dengan dugaan,remaja yang unggul,berwawasan dan mempunyai nilai insaniah yang syumul sangat pokok dalam membangunkan agama dan negara. Malahan,darah muda inilah yang akan menjadi tulang belakang agama dan negara seterusnya bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara kelak.Namun, malangnya, aset utama negara iaitu remaja, kian musnah dek kerana budaya kuning yang durjana. Sugguhpun begitu, Malaysia masih mempunyai permata berkualiti untuk dijadikan idola contohnya, para peserta Imam Muda yang sangat berkaliber dari segi semua aspek. Persoalannya,apakah ciri-ciri remaja yang boleh dikategorikan sebagai remaja yang berwawasan?

Ciri-ciri yang paling ruji yang perlu ada dalam diri remaja yang berwawasan ialah para remaja haruskan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Seperti yang dinyatakan dalam 10 muasafat tarbiyah iaitu seorang muslim yang unggul haruslah  mempunyai fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri). Para remaja bukan sahaja harus mendalami ilmu duniawi,malah  perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain. Tetapi perlu diingat! Ilmu keagamaan tersebut berlandaskan al-quran dan hadis dan diterangkan secara jelas oleh para ulama’.  Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan melalui internet,menyertai usrah kumpulan mahupun melibatkan diri dalam kem-kem motivasi seperti Kem Minda Kreatif(KMK) yang dianjurkan oleh KeARAH HALUAN. Impaknya,para remaja tidak akan digelar katak di bawah tempurung dan tidak alpa dengan dunia yang penuh pancaroba ini. Tegasnya,remaja yang berwawasan akan sentiasa dahagakan ilmu kerana mereka menganggap ilmu itu ibarat lautan yang tiada penghujungnya.
Seterusnya,seperti yang dinyatakan dalam 10 muasafat tarbiyah juga,seorang remaja yang berwawasan juga mestilah mestilah mempunyai akhlak yang mantap(Matinul Khuluq) iaitu akhlak yang dianjurkan oleh Al-quran dan Nabi Muhammad S.A.W.  Lihat  saja,cuba kita bandingkan remaja yang mempunyai ilmu agama yang kukuh dengan yang tidak berpegang teguh kepada tiang agama sudah tentu remaja yang berpegang teguh kepada agama lebih berwawasan kerana remaja tersebut sudah pasti tidak akan terjebak dalam kemelut sosial yang mementingkan duniawi semata-mata serta berusaha untuk mencegah dirinya daripada melakukan kemungkaran. Cara untuk menerapkan akhlak yang mantap dalam diri remaja tidak lain tidak bukan melalui kesempurnaan solat. Sudah dinyatakan di dalam Al-quran bahawa solat mencerminkan keperibadian seseorang muslim. Oleh sebab itu, aspek agama tidak seharusnya dipandang ringan dalam meniti arus kemodenan ini. Tuntasnya, remaja yang berwawasan haruslah mempunyai pegangan agama yang teguh sebagai benteng dalam kehidupan dan pendidikan agama haruslah diparaktikkan kepada anak-anak melalui ibu bapa sejak dari kecil lagi bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Selain itu,seorang remaja pewaris ummah yang berwawasan juga sepatutnya seorang yang kental dan gigih berusaha untuk menggapai menara kejayaan. Semasa melakukan aktiviti atau ketika menuntut ilmu tidak dapat dinafikan akan wujud halangan tertentu seperti sukar mempelajari sesuatu perkara, masalah kewangan, kurang dorongan, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Remaja yang berdedikasi tidak akan mudah mengalah meskipun hujan dan badai menimpa ke atas dirinya jika ingin ke puncak kejayaan. Hal ini demikian kerana,remaja yang kental dan gigih dituntut dalam Islam kerana merekalah yang akan membela Islam pada masa yang akan datang apabila para kafir laknatullah memberi asakan  yang bertubi-tubi untuk menjatuhkan agama Islam! Oleh itu,sudah  tentulah budaya pesimistik dan culas perlu  dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan. Caranya ialah melalui membiasakan diri melakukan aktiviti lasak,melazimkan diri bercakap di khalayak ramai dan tidak malu untuk menyuarakan pendapat. Ya! Saya tahu malu itu sebahagian daripada iman,tetapi malu yang dimaksudkan itu bukanlah termasuk dalam konteks seperti ini. Malu yang dimaksudkan ialah malu kepada Allah dan Rasul jika melakukan dosa.  Dengan ini,jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan bak kata pepatah, “berakit-rakit ke hulu,berenang-renang kita ketepian,bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

“Syurga anak terletak di bawah telapak kaki ibu”. Perumpamaan melayu tersebut sudah cukup untuk menggambarkan betapa agungnya kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak. Justeru itu,seorang remaja yang berwawasan akan sentiasa memohon restu daripada ibu dan ayahnya jika ingin mengerjakan sesuatu. Jika tidak,segala amal jariah yang dikerjakan olehnya bolehlah dikiaskan sebagai mencurah air ke daun keladi kerana Allah SWT tidak menerima apa-apa sahaja tanpa restu daripada kedua-dua orang tua kita. Tidak dikecualikan,remaja yang berwawasan juga akan sentiasa menghormati guru mereka kerana guru merupakan insan yang sering diberi perumpamaan ibarat lilin yang membakar diri dalam memberikan kita ilmu serta dorongan dalam usaha kita mencapai kejayaan. Selain itu,guru merupakan ibu bapa kedua kita jika berada di sekolah. Tanpa mereka, mungkin kita tidak akan tahu membaca dan mengira. Justeru itu, istilah ‘biadap’ atau ‘kurang ajar’ tidak sewajarnya wujud dalam kamus hidup para remaja dalam era modenasasi kerana mereka merupakan golongan yang berpendidikan dan seharusnya memiliki intelek yang matang. Oleh yang demikian,untuk menjadi remaja yang berwawasan,bukan sahaj aspek luaran perlu dititikberatkan bahkan aspek dalaman juga perlu diambil serius.

Tuntasnya, terdapat banyak ciri untuk menggambarkan kewibawaan seseorang remaja untuk penjadi pewaris ummah. Justeru itulah,remaja yang  merupakan bakal tunjang utama tapuk kepimpinan negara pada masa hadapan haruslah dibentuk sejak awal lagi. Dalam konteks ini,semua pihak haruslah bekerjasama memainkan peranan masing-masing bak kata pepatah seikat bagai sirih,serumpun bagai serai dalam usaha melahirkan lebih ramai remaja yang berwawasan agar Wawasan Perdana 2057 mampu direalisasikan dengan jayanya. Selain itu,remaja itu sendiri haruslah berusaha untuk membentuk jati diri mereka untuk menjadi orang yang berguna kerana merekalah yang akan membimbing negara dalam mencapai arus kegemilangan kelak agar agama dan negara kita setanding dengan negara maju yang lain persis mutiara kata berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. 

Mengapa Remaja Kita Hancur


Assalamualaikum, sekarang CT nak share 1 dari karya yang CT karang sempena Haluan Youngstar Annual Gathering.  CT harap karya ini bermanfaat kepada semua . InsyaAllah !



FAKTOR-FAKTOR KERUNTUHAN AKHLAK REMAJA  SEKARANG
Dewasa ini, kita sering mendengar berita yang kurang enak untuk menjadi halwa telinga. Setiap hari, ada sahaja berita yang disiarkan di akhbar mahupun di media massa. Ke manakah hala tuju remaja kita?  Remaja merupakan permata berharga buat  sesebuah negara. Masa depan sesebuah negara itu berada di tangan mereka. Merekalah yang akan menggantikan generasi terdahulu untuk menerajui dan membangunkan negara. Bak kata pepatah, “di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Jika elok remaja, maka eloklah masa depan sesebuah negara itu, tetapi jika rosak remaja, maka rosaklah masa depan sesebuah negara itu. Oleh itu, golongan remaja yang cemerlang sangat diperlukan untuk membentuk sesebuah ummah yang berjaya. Malangnya, keruntuhan akhlak dan moral remaja semakin menjadi-jadi marcapada ini. Saban hari , “Tend-trend” kuning yang tumbuh “seperti cendawan selepas hujan” menandakan keruntuhan akhlak permata Negara.
Faktor terbesar yang telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak para remaja ialah pengaruh daripada rakan sebaya. Mengikut statistik,para remaja lebih rapat dengan kawan berbanding dengan keluarga sendiri. Para remaja kebanyakannya tidak tahan dengan ayat “Kau ni anak mak la. Hisap rokok pun takut” , “Hisap rokok lar brother,baru matured!”,”Kau ni out-of date lah. Aku tengok kau dah macam ninja dah. Semua benda nak tutup!”. Sikap saling mencabar antara satu sama lain membuatkan para remaja berasa tercabar akan cabaran kawan-kawan mereka. “Darah muda” mereka mendorong mereka untuk mencuba sesuatu meskipun mereka tahu perkara tersebut boleh memudaratkan diri mereka. Bak kata pepatah melayu, “menang jadi arang,kalah jadi abu”. Mereka terutamanya yang bergelar umat Islam seolah-olah alpa bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa “sebahagian daripada kebaikan orang mukmin ialah mereka yang meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya”.
Seterusnya,kekurangan kasih sayang daripada orang tua juga merupakan faktor terbesar yang mendorong kepada masalah gejala sosial dalam kalangan remaja. Pada masa ini, para ibu bapa terlalu sibuk mengejar harta dunia dan semakin lupa akan lumrah mereka iaitu mendidik dan mengasuh anak-anak yang diamanahkan Allah supaya menjadi orang yang berguna kepada agama dan bangsa. Ya! Saya faham bahawa mereka bekerja ntuk memberi kesenangan kepada anak-anak,tetapi kesibukan mereka juga menghalang mereka untuk mengambil tahu aktiviti anak-anak dan seterusnya membiarkan anak-anak terumbang-ambing dalam kehidupan mereka. Ibu bapa ini hanya akan tersedar ketika anak mereka sudah teruk. Bak kata pepatah, “sudah terhantuk, baru tergadah”.
Di samping itu,punca lain yang mempengaruhi fikiran remaja untuk terlibat dalam aktiviti songsang ialah pengaruh media massa. Tidak boleh dinafikan,media massa ini banyak memberikan kebaikan, tetapi juga boleh mempengaruhi seseorang terutamanya golongan remaja ke arah negatif secara diam. Lihat saja,saban hari kita lebih banyak dipertontonkan dengan filem ganas,filem yang berunsurkan seks dan sebagainya. Malahan, ada juga filem yang secara diam menyebarkan agama sesat kepada penonton terutamanya penonton muslim. Filem-filem sebegini boleh diibaratkan seperti “api dalam sekam”. Cerita-cerita sebegini dapat mempengaruhi dan merangsang remaja untuk meniru aksi-aksi negatif itu, dan hasilnya, keruntuhan akhlak remaja semakin menjadi-jadi.

Dalam pada itu,para remaja tidak diterapkan aspek nilai-nilai murni dan didikan agama dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana,sikap tidak endah ibu bapa akan hal-hal seperti ini. Perkara ini lazimnya berlaku dalam keluarga terlalu taksub mengejar duniawi dan terjebak dalam kejahilan. Kejahilan yang saya maksudkan di sini bukanlah kejahilan mereka dalam bidang keilmuan, namun kejahilan yang saya maksudkan di sini adalah kejahilan mereka dalam menanggapi kehidupan yang berlandaskan fitrah yang sebenar, kejahilan dalam memisahkan ruang kebenaran dan kebatilan dan kejahilan para ibu bapa dalam menerapkan nilai adab dalam kehidupan dalam institusi keluarga. Oleh itu, anak-anak menjadi tidak tahu membezakan yang mana satu intan,yang mana satu permata dalam hidup mereka seterusnya berasa seakan tidak ada sesuatu yang dapat menghalang mereka untuk menunaikan kemahuan mereka. Oleh sebab itulah mereka melakukan sesuatu perkara negatif tanpa berfikir panjang.

Intihannya,keruntuhan akhlak bukanlah sekadar berfaktor daripada keadaan sekeliling, tetapi datang dari dalam diri remaja itu sendiri. Masalah ini telah menjadi satu masalah kompleks yang melibatkan elemen individu, keluarga, masyarakat dan Negara. Oleh yang demikian,para ibu bapa dan orang sekeliling memainkan peranan yang sangat besar dalam usaha menerapkan keimanan yang teguh dalam diri remaja sebagai benteng pertahanan mereka. Masyarakat juga harus saling menguatkan antara satu sama lain dengan amar makruf nahi mungkar. Seterusnya adalah negara sebagai institusi pertahanan umat Islam dalam bersemuka dengan virus-virus luar yang semakin mencabar.








------- HALUAN YOUNGSTAR -----------



assalamualaikum . .

alhamdulillah Cik Tahz baru selamat sampai dari menghadiri Haluan Youngstar Annual Gathering kat Pendang Lake Resort,Kedah Darul Aman . Alhamdulillah, saya semakin berasa dekat dengan Allah dan faham maksud sebenar Mencari Mardhatillah. insyaAllah hari ini CT akan berkongsi suka duka CT selamat 2 hari 1 malam berada di sana . 


Alhamdulillah CT bertolak dari masjid Kubang Kerian pada pukul 8.45 malam . ketika dalam perjalanan, satu pengalaman yang CT tidak boleh lupakan ialah CT termuntah dalam bas. CT pun pelik kerana CT ni jenis yang susah nak muntah. Bukan sekali, tetapi dua kali. Nasib baik ada sahabat baik Ct , Mahfuzah yang senantiasa menemani CT. Syukran jazilan ukhti! dua kali CT kejutkan dia kerana CT muntah. Dialah yang susah payah tolong carikan plastik untuk Ct muntah. sepanjang Youngstar nie, CT sedar CT banyak susahkan dia.terima kasih sahabat ! Kami selamat sampai ke Destinasi kira-kira pukul 4.30 pg. kami antara negeri terawal yang sampai. kami ditempatkan dalam satu dorm bersama negeri Selangor, Terengganu dan Kelantan.

Sepanjang program tersebut, CT banyak belajar erti Mencari Mardhatillah. Antaranya, kita bukan hanya perlu menjadi bintang di hadapan manusia , tetapi menjadi bintang di hadapan illahi . CT juga faham apakah erti CINTA ? Cinta bukan sahaja spesifik untuk lelaki dan perempuan, tetapi, CINTA itu untuk Rabb, Rasulullah dan ibubapa kita juga.

Pada hari terakhir , slot yang paling mencuit hati Ct ialah slot sharing moments. CT sangat kagum dengan para remaja yang sangat berani untuk tampil ke hadapan berkongsi pengalaman mereka. CT berazam bahawa satu hari nanti CT mahu jadi berani dan boleh bercakap di khalayak ramai seperti mereka. Pada majlis penutup , ada penyampaian hadiah bg mereka yang menyertai pertandingan. alhamdulillah, peserta dari negeri Serambi Mekah (KELANTAN) banyak memenangi pertandingan . tahniah kpd semua yang menang terutamnya sahabat CT , MAHFUZAH HAMIZAH yang mendapat tempat ketiga pertandingan video. 

Selepas majlis penutup berakhir, kami bertolak pulang. Sekali lagi dalam perjalanan pulang, CT berasa mual-mual. tapi kali ni tak lah sampai termuntah. kami sampai ke HOMESTAY BERKAT di Gaal, Pasir Puteh pada pukul 1 pg . Kami menginap di situ semalaman . CT terharu dengan budi pekerti Pak cik Mahmud dan Mak Cik Nah yang sangat mulia. mereka melayan kami seperti keluarga sendiri.CT dapat memahami apakah erti Ukhuwah Islamiah yang sebenar. Pada pagi keesokan hari , Mak Cik Nah sediakan makan pagi untuk kami. memang mantap lar masakan Mak Cik Nah. okayy !! setakat nie jer kot sharing moment dari CT.

P\s : Jujur Ct cakap CT tak berapa bersemangat untuk program ini . Ada suara-suara halus syaitan laknatullah yang seolah-olah menghasut diri ini agar tidak menyertai acara yang menjadi salah satu taman syurga ini. Tetapi alhamdulillah, dengan dorongan dan sokongan semangat yang sangat luar biasa dari Umi , Baba dan adik-beradik CT yang lain, telah menimbulkan satu semangat dan Iltizam untuk tidak menghampakan mereka. Umi CT pernah berkata kpd CT yang beliau sangat bersyukur kerana Ct telah terdedah dengan suasana yang sepatutnya. Umi saya berkata bhawa beliau sangat terharu dengan layanan ahli HALUAN yang sangat ramah. .